Menu:

SIRI TOKOH

Hajah Langkamanis Tokoh Andaman

Bidang: Andaman
Nama Penuh: Puan Hajah Langkamanis binti Haji Ismawil
Tarikh Lahir: 1929
Tempat Kelahiran: Sandakan
Suami: Haji Sharif Ismail bin Sharif Ambulong
Tarikh Berkahwin: 1939
Bilangan Anak: 7 orang (5 Lelaki, 2 Perempuan)
Bilangan Cucu: 39 orang
Bilangan Cicit: 1 orang

Anak-anak Hajah Langkamanis hasil perkahwinannya dengan Haji Ismail yang berketurunan sharif semuanya telah mempunyai pekerjaan masing-masing. Dua orang anak lelakinya yang mempunyai pendidikan luar negara (Kanada dan UK) bekerja di Jabatan Kerajaan iaitu di Jabatan Pertanian dan Jabatan Bomba & Penyelamat. Seorang bekerja sebagai guru sekolah dan seorang lagi peniaga. Dua orang anak perempuannya menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menumpukan perhatian kepada pendidikan anak-anak. 

Puan Hajah Langkamanis mula bergiat dalam bidang andaman sejak tahun 1961, ketika berusia 32 tahun. Sepanjang karjayanya sebagai Mak Andam Hajah Langkamanis telah mengandam beratus-ratus pengantin perempuan mahupun lelaki. Beliau bukan sahaja dikenali di kampung kediamannya iaitu Kg. Bokara tetapi di seluruh pantai Timur Sabah, khususnya di kalangan masyrakat Bajau. Antara pengantin yang pernah menerima khidmat andaman daripada beliau ialah anak perempuan Datuk Seri Panglima Haji Ampong Hj. Panglima Puyon dan dua orang anak perempuan Dato Haji Karamah Haji Omar Ali.

Hajah Langkamanis mewarisi kemahiran mengandam daripada ibunya Hajah Sinalud binti Haji Usman, yang mewarisi kemahiran daripada makciknya Hajah Dayang Usbah (nenek kepada Hajah Langkamanis).

Menurut Hajah Langkamanis, kebiasaannya pelamin perkahwinan masyarakat Bajau menggambarkan singgahsana pembesar masyarakat Bajau yang digunakan semasa bersuka ria dengan dayang-dayang di istana.

Pakaian pengantin lelaki merupakan pakaian kesultanan (bangsawan) atau pakaian pahlawan manakala pengantin perempuan memakai pakaian Alal Bimbang. Adakalanya pengantin lelaki memakai jubah alah wali-wali dan tarbus.