Menu:

PERSATUAN KEBUDAYAAN & KEBAJIKAN BAJAU SAMAH SANDAKAN (PKKBSS)

Sorotan Penubuhan

PERSATUAN KEBUDAYAAN BAJAU SAMA SANDAKAN (PKBSS), yang diterajui oleh Tuan Haji Alipudin bin Puyon telah ditubuhkan pada Mei 2006. PKBSS ditubuhkan untuk memperjuangkan kebudayaan Bajau Sama di daerah Sandakan dan Sabah khususnya, dan di Asia Tenggara amnya.

"Kami mahu kebudayaan suku kaum Bajau Sama terserlah dan boleh dibanggakan di seantero Asia", demikian harapan Tuan Haji Alipudin - (New Sabah Times: 25 Mei 2006) - dalam usaha mengangkat martabat budaya bangsa yang kini hampir dilupai oleh generasi muda.

Dianggarkan terdapat lebih daripada 50,000 orang masyarakat Bajau Sama tinggal di daerah Sandakan pada ketika ini iaitu kira-kira 40% daripada 380 orang penduduk Sandakan.

Bagi meralisasikan matlamat perjuangan PKBSS pelan tindakan sedang disusun dalam perancangan takwim aktiviti sepanjang tahun 2006. Ini termasuklah rancangan untuk membuat pelancaran atau perasmian secara sederhana yang dijangka diadakan sebelum bulan Ramadhan ini.

Sementara itu, dan sebagai langkah pertama, satu kumpulan tetap penari telah ditubuhkan yang dianggotai oleh Cik Rabiatul Adawiyah Amirbangsa (17 Tahun), adik Mohamad Nurussalam Amirbangsa (15 Tahun), Cik Sabariah Mohammad (25 Tahun), Cik Arnih Rashid (18 Tahun) dan Cik Diana Asgar (16 Tahun).

Diharapkan dengan tertubuhnya PKBSS, nilai-nilai budaya masyarakat Bajau Sama dapat disemarakkan kembali khususnya di kalangan generasi muda. Malah penglibatan generasi mayarakat Bajau Sama dalam pelbagai perkumpulan budaya akan dapat menghindari mereka daripada terjebak ke dalam gejala-gejala sosial yang negatif seperti lepak dan membuang masa dengan berkeliaran di sekitar bandar tanpa matlamat yang jelas.


Pengenalan

Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bajau Samah Sandakan (PKKBSS) telah ditubuhkan pada 2006. Ia bertujuan untuk mengangkat kebudayaan suku kaum Bajau Samah khususnya di daerah Sandakan ke pentas rasmi. PKKBSS juga bertujuan untuk memperjuangkan agar unsur-unsur kebudayaan suku kaum Bajau Samah khususnya dalam aspek kesenian seperti seni tari menjadi sebahagian daripada identiti kebudayaan Negeri Sabah dan kebudayaan nasional. Selain daripada itu, penubuhan PKKBSS juga sebagai pelengkap kepada aktivis kebudayaan Bajau yang giat bergerak di Semporna, Sabah.

PKKBSS telah dilancarkan pada 17 Mac 2007 oleh Y.A.B Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman bertempat di Dewan Masyarakat Sandakan.

Untuk memperlancar pengurusan PKKBSS, dua Jawatankuasa telah dibentuk iaitu Jawatankuasa Kebajikan yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Di-Pertua PKKBSS iaitu Tuan Haji Alipudin, dan Jawatankuasa Kebudayaan & Kesenian, yang dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa Induk, Saudara Jafar Mustafah.

Di bawah ini adalah carta organisasi pentadbiran PKKBSS.